Permulaan kontroversi Operasi Lalang

Kontroversi ini bermula daripada tindakan kerajaan menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).[1] Masyarakat Cina meragui keberkesanan golongan tersebut menguruskan pentadbiran sekolah kerana dianggap tidak dapat berkomunikasi secara berkesan dengan staf sekolah. Pada September 1987, satu rombongan Dong Jiao Zong telah menemui Timbalan Menteri Pendidikan Encik Woon See Chin untuk menyampaikan hasrat mereka agar pelantikan berkenaan ditarik balik. Pada 1 Oktober, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa guru besar dan penolong kanan yang dilantik akan diberi tempoh percubaan selama enam bulan. Keputusan ini tidak dipersetujui oleh ibu bapa dan pergerakan pendidikan Cina yang diwakili oleh Don Zong, Jiao Zong dan pertubuhan masyarakat Cina yang lain. Pada masa yang sama, parti MCA turut menyeru kementerian pendidikan mengkaji semula keputusan sebelumnya dan mahu ciri sekolah Cina dikekalkan. Pada 4 Oktober, Menteri Pendidikan mengumumkan Kementerian Pendidikan akan berpegang pada keputusan awal dan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan politik. Pada hari yang sama, Dong Jiao Zong dan beberapa buah pertubuhan lain mengadakan pertemuan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan memutuskan untuk mengemukakan satu bantahan, yang dianggotai ibu bapa dan guru sekiranya isu itu tidak diselesaikan dalam masa dua minggu. Pada masa yang sama, Memorendum Mengenai Kakitangan Pentadbir yang Tidak Berkelayakan Bahasa Cina ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina diutuskan oleh Dong Jiao Zong kepada Kementerian Pendidikan. Memorendum ini mengecam kelalaian kementerian menangani masalah SRJKC. Pada 8 Oktober, Jawatankuasa Bertindak Bersama, merangkumi 15 buah pertubuhan utama masyarakat Cina, parti MCA, Gerakan, dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ditubuhkan dalam satu perjumpaan tergempar di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Pada 11 Oktober, satu perjumpaan besar-besaran diadakan di Tokong Thean Hou untuk membantah keputusan kerajaan berkenaan isu tersebut. Perjumpaan ini dihadiri oleh wakil persatuan-persatuan sekolah Cina, parti MCA, Gerakan dan DAP. Perjumpaan itu mencapai resolusi bahawa sekiranya guru berkenaan tidak dikeluarkan menjelang Rabu minggu berikutnya, mereka akan melancarkan mogok kelas selama tiga hari. Pada pihak Pemuda UMNO, satu rapat umum telah diadakan. Pada 19 Oktober, Anwar Ibrahim mengumumkan kementeriannya tidak akan berganjak daripada keputusan awalnya dan memberi amaran keras bahawa tindakan keras akan diambil ke atas guru besar yang merestui mogok kelas. Kontroversi ini berakhir apabila Perdana Menteri melancarkan penangkapan secara mengejut, dikenali sebagai Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987.[1]